Karyaneka ditubuhkan pada tahun 1982 dimiliki penuh oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, sebuah agensi dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Fungsi utama penubuhan Karyaneka adalah untuk memasarkan produk kraf tempatan daripada usahawan kraf seluruh negara. Karyaneka juga memberi khidmat pembekalan hadiah dan cenderamata korporat kepada badan-badan kerajaan dan swasta. Karyaneka mempunyai kepakaran di dalam membangunkan dan membekalkan produk tempahan khas mengikut keperluan pelanggan terutamanya bagi seminar yang melibatkan peserta dalam negera dan antarabangsa. Selain itu, Karyaneka telah mengembangkan sayapnya untuk memasarkan produk kraf ke pasaran global melalui kedai atas talian (online store)
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Dengan penuh rasa bangga dan syukur, saya mengalu-alukan anda ke laman rasmi Karyaneka, sebuah platform yang mengetengahkan keindahan dan keunikan kraf tangan Malaysia. Sebagai anak syarikat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Karyaneka komited dalam usaha melestarikan, mempromosi, dan memperkasa seni kraf warisan agar terus relevan di persada dunia, sekaligus memartabatkan identiti budaya negara kita.
Keunikan warisan budaya Malaysia jelas terpancar dalam setiap hasil kraf yang kami tawarkan. Dari kehalusan rekaan batik dan songket yang memukau hingga kepada keindahan produk berasaskan pewter, rotan, dan kayu, setiap satunya mencerminkan kemahiran, dedikasi, dan ketelitian para penggiat kraf tempatan. Koleksi cenderamata korporat eksklusif kami, termasuk pakaian batik berkualiti tinggi dan set hadiah istimewa, menjadi pilihan sempurna sebagai lambang penghargaan yang berkelas dan bermakna.
Karyaneka bukan sekadar sebuah entiti perniagaan kraf; kami adalah jambatan yang menghubungkan warisan kraftangan dan pasaran global. Komitmen kami bukan hanya untuk memperdagangkan kraf, tetapi juga untuk memperkasakan usahawan kraf dengan peluang yang lebih mampan, membudayakan kreativiti, dan mempromosikan hasil kerja mereka ke serata dunia. Usaha ini bertujuan untuk menyokong industri kraf tempatan, memperkukuh ekonomi kreatif, serta memartabatkan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dalam meniti masa depan, kami berhasrat menjadikan Karyaneka sebagai penanda aras kecemerlangan dalam bidang kraftangan. Kami juga menggalakkan lebih banyak komuniti, organisasi, dan syarikat untuk memilih produk kraf tempatan sebagai cenderamata korporat dan elemen penjenamaan, agar warisan Malaysia terus mekar dalam kehidupan seharian.
Saya mengajak anda semua untuk meneroka koleksi kami dan menghargai keindahan seni kraf Malaysia. Bersama-sama, kita raikan dan pelihara warisan negara agar terus lestari untuk generasi akan datang.
Menjadi pemangkin dalam pemasaran dan promosi Kraf yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran.
Untuk memasar dan menggalakkan penggunaan Kraf Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.