Perusahaan membuat tembaga terkenal di negeri Terengganu.  Salah satu teknik pembuatan barang tembaga ialah secara penghapusan lilin.

Proses pembuatan tembaga ini bermula dengan proses membentuk menggunakan acuan.  Bagi membuat, acuan bentuk asal diperbuat dari kayu. 

Biasanya barang-barang yang berbentuk silinder, kayu cengal digunakan kerana tahan lama dan mudah dilarik dengan licin.  Bentuk lilin perlu diperolehi terlebih dahulu dengan mencelup bentuk kayu ke dalam lilin pada suhu 30 C – 40 C.  Proses ini dilakukan berulang kali mengikut tebal yang diperlukan, barulah lilin dikeluarkan dari bentuk asal kayu.

Proses seterusnya ialah menampal dengan menggunakan tanah liat bercampur pasir halus dan air.  Bentuk lilin tadi dicelup ke dalam bancuhan untuk menjadikannya rata.  Seterusnya logam dituangkan ke dalam acuan panas supaya cairan logam mudah masuk ke dalam rongga untuk mengambil tempat kesan lilin seperti yang dibentuk.  Setelah logam sejuk dan beku acuan dipecahkan.  Proses terakhir ialah mengikis dan mengilap dilakukan untuk mendapatkan hasilan barangan tembaga yang berkilat.

Barangan tembaga ini mempunyai banyak kegunaan sebagai barang upacara tradisi, barang harian dan juga sebagai cenderamata atau hadiah.